CARA-CARA APLIKASI ALAT BANTU MENGAJAR (ABM)
Dalam zaman yang serba moden dan canggih sejajar dengan perkembangan dunia teknologi maklumat yang semakin berkembang pesat dari semasa ke semasa. Penggunaan alat bantu mengajar (ABM) juga berkembang dari menggunakan papan tulis bertukar kepada yang lebih canggih iaitu penggunaan komputer, bahan elektronik dan sebagainya.
Di antara jenis alat bantu mengajar (ABM) yang boleh digunakan adalah seperti Kad Manila, Carta, Model, Projektor, Multimedia dan sebagainya. Alat dengar seperti radio, pita rakaman adalah sesuai untuk pembelajaran yang berkehendakkan penguasaan kemahiran yang tertentu seperti bacaan Al-Quran. Filem dan Televisyen sesuai digunakan untuk sesuatu pemerhatian aspek-aspek khusus atau untuk tujuan memperlihatkan tunjuk cara yang berhubung dengan penguasaan sesuatu aspek yang tertentu[6] seperti pergerakan amali dalam sembahyang.
Secara amnya, cara untuk menggunakan bahan bantu mengajar hendaklah diuruskan dengan betul dan cekap supaya pelajar dapat memahami dan mengekalkan konsep atau fakta dalam ingatan mereka. Selain sebagai bahan tambahan kepada penyampaian pengajaran secara lisan oleh guru, penggunaan bahan bantu mengajar sebenarnya turut memberi peluang kepada pelajar untuk memperoleh pengetahuan melalui penggunaan pelbagai deria, iaitu deria penglihatan, deria sentuh, dan deria pendengaran
Tujuan utama menggunakan alat bantu mengajar (ABM) dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran ialah untuk membantu guru menyampaikan pengajarannya dengan mudah, tepat, cepat serta menarik. Untuk mencapai tujuan ini, guru haruslah memahami teknik penggunaan alat bantu mengajar (ABM) dan menggunakannya dengan cekap. Berikut ialah beberapa garis panduan menggunakan alat bantu mengajar (ABM) untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran:
- Alat bantu mengajar (ABM) seperti carta haruslah digantung di suatu tempat yang sesuai supaya semua murid boleh melihatnya dengan mudah. Semasa menggunakannya, guru haruslah membimbing murid-murid meneliti perkara yang penting supaya tidak membazirkan masa murid-murid serta boleh mencapai hasil pembelajaran yang dikehendaki. Jika carta itu mengandungi beberapa bahagian, guru boleh menutupnya terlebih dahulu, kemudian menunjukkan kepada murid-murid bahagian demi bahagian mengikut urutan penerangan guru. Cara ini boleh menarik minat murid serta membangkitkan daya pemikiran mereka.
- Sebelum alat bantu mengajar (ABM) diedarkan kepada murid-murid untuk menjalankan kerja praktik, guru harus memberi arahan yang tegas dan jelas supaya aktiviti pembelajaran itu dapat dijalankan dengan tepat, berdisiplin dan mengikut masa yang ditetapkan.
- Tunjukkan alat bantu mengajar (ABM) kepada murid-murid hanya pada ketika yang perlu. Jika sesuatu Alat bantu mengajar (ABM) ditunjukkan lebih awal, murid-murid akan asyik tumpukan perhatian mereka kepada alat itu dan kurang memberi perhatian kepada aktiviti pengajaran guru.
- Guru harus membimbing murid-murid membincang fakta-fakta penting yang terkandung dalam alat bantu mengajar (ABM). Selepas itu, harus diadakan pula aktiviti penilaian terhadap tindak balas murid-murid berdasarkan hasil penggunaan alat bantu mengajar (ABM) itu dengan tujuan untuk mengetahui pencapaian objektif pembelajaran.
- Alat bantu mengajar (ABM) yang telah selesai digunakan haruslah dikumpul balik dan disimpan dengan baik di tempat yang sesuai.
- Alat bantu mengajar (ABM) hanya digunakan untuk membantu guru dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran dan ia tidak boleh menggantikan tempat guru. Penggunaan Alat bantu mengajar (ABM) haruslah sesuai dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran supaya mencapai objektif pelajaran yang ditentukan.
Pada amnya, cara menggunakan alat bantu mengajar (ABM) hendaklah diuruskan dengan betul dan cekap, supaya murid-murid dapat memahami dan mengekalkan konsep atau fakta dalam ingatan mereka. Nilai sesuatu alat bantu mengajar (ABM) yang baik akan dihapuskan sekiranya alat itu tidak disediakan mengikut kriteria-kriteria yang telah dihuraikan atau penggunaannya kurang cekap ataupun kurang berkesan[7]
Comments
Post a Comment